Selasa, 26 Jun 2007

Semangat Berani Mengakui Kesilapan

Utusan 26 Jun 2007 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1428

Dalam menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50, kita pasti menceritakan kembali dan menghebahkan kejayaan serta kepandaian rakyat negara ini membangunkan Malaysia. Bukan saja Malaysia bertuah memiliki pemimpin-pemimpin yang baik dan pandai, tetapi rakyat ini juga bijak memilih pemimpin mereka di samping tidak terdorong untuk melakukan tindakan-tindakan buruk seperti merusuh atau berperang sesama sendiri.

Lebih-lebih lagi apabila kita membandingkan dengan negara-negara yang gagal membangun walaupun mencapai kemerdekaan lebih awal daripada kita. Namun begitu, dalam semangat menyambut Hari Kemerdekaan Ke -50, kita juga wajar membincangkan dengan berlapang dada terhadap kegagalan dan kesilapan yang dilakukan oleh negara kita, baik oleh pemimpin-pemimpinnya, mahupun rakyat biasa.

Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita juga banyak melakukan kesilapan. Kita harus berjiwa merdeka dengan berani mengakui kesilapan yang telah dilakukan oleh negara ini sejak mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu. Sudah tentu Malaysia bukanlah sebuah negara yang sempurna. terdapat juga cacat celanya.

Itu tidak pula kita menafikan kejayaan dan kepandaian kita. Oleh kerana segala kajayaan kita sudah sering diuar-uarkan lebih-lebih lagi oleh saluran yang bersifat rasmi, maka ada baiknya kita juga membincangkan mengenai kesilapan-kesilapan yang telah negara kita lakukan selama ini. Semoga ia menjadi iktibar dan dicari penyelesaiannya. Kita pun mengakui bahawa buat masa ini kita menghadapi pelbagai masalah yang mesti kita berani tangani. antaranya adalah seperti peningkatan jenayah di negara ini. Itu tidak boleh kita menafikan.

Andai kata, kita dapat mengelakkan kesilapan-kesilapan itu, pasti negara kita akan lebih maju daripada hari ini. Bagi pendapat saya, kesilapan besar kita sebagai rakyat, negara ini adalah kekurangan kemampuan kita untuk mempunyai sifat toleransi terhadap pendapat dan pandangan yang berbeza daripada apa yang kita pegang. Umpamanya sebaik saja keluar sesuatu pendapat yang bertentangan dengan apa yang kita percaya, dengan segera kita berasa sensitif dan menyeru supaya pendapat itu tidak dipedulikan dan disembunyikan.

Akibat daripada sifat kita, pendapat yang berbeza dan pelbagai sukar untuk bercambah di negara ini. Kita sendiri yang ada kalanya mempunyai pendapat yang berbeza daripada orang lain berasa takut untuk mengemukakannya kerana bimbang dikritik dan dicemuh oleh orang lain. Kita tahu rakyat negara ini sensitif terhadap pendapat yang berbeza. Kita juga berasa sensitif jika ada orang lain yang mengeluarkan pendapat yang berbeza.

Dalam hal inilah, saya rasa kita mempunyai kekurangan sepanjang 50 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Maka, masyarakat yang terlalu sensitif dan tidak toleran kepada pendapat berbeza menghasilkan iklim stereotaip di sekolah-sekolah. Sukar bagi kita hendak menggalakkan kreativiti dan ekspresi pandangan di sekolah. Suasana ini juga terbawa-bawa ke universiti tempatan yang akhirnya mengukuh di tempat-tempat kerja.

Bagaimanakah negara ini hendak berkembang lebih jauh jika dalam persaingan buah fikiran pun kita sudah gagal? Maka kita sering menyatakan bahawa siswazah dari luar negara lebih bermutu. Mungkin antara sebabnya ialah di Barat, iklimnya adalah mereka mempunyai sifat toleran terhadap pelbagai idea berbeza dan ini menggalakkan kreativiti.

Kita berasakan bahawa iklim kepelbagaian pendapat adalah lebih luas sebelum Darurat, iaitu semasa negara belum mencapai kemerdekaan. Akibat Darurat, kebebasan melahirkan perbezaan pendapat semakin mengecil bagi mengelak propaganda subversif. Tetapi selepas Darurat berakhir pada tahun 1960, iaitu selepas negara mencapai kemerdekaan, ruang kebebasan pendapat tidak dipulihkan seperti mana sebelum Darurat dulu.

Kemudian ruang kebebasan berbeza pendapat ini lebih mengecil apabila Malaysia ditubuhkan kerana ketika itu ancaman konfrontasi Indonesia membahayakan negara. Tetapi setelah tamat konfrontasi, ruang ini tidaklah dipulihkan secara automatik.

Peristiwa 13 Mei dan 3 Disember 1974 iaitu Demonstrasi Mahasiswa telah mengakibatkan ruang mengeluarkan pendapat lebih mengecil. Ia bukan semata-mata kerana undang-undang yang digubal bagi menyekat pendapat-pendapat yang berbeza. apa yang mengecilkan ruang pendapat itu bukanlah undang-undang tetapi tindakan serta ucapan-ucapan yang tidak menggalakkan pernyataan pendapat berbeza. Seolah-olah apabila dinyatakan pendapat yang berbeza dianggap sebagai musuh.

Maka dalam suasana begini, maka apa yang dapatdinyatakan ketika menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50, adalah puji-pujian semata-mata. Sedangkan perkataan merdeka bererti kebebasan, bukan saja kebebasan daripada penjajah tetapi memiliki kebebasan berfikir serta bersuara. ~ M E R D E K A ~ABUZAR SAMADI,Batu Pahat, Johor


Tiada ulasan: