Selasa, 12 Jun 2007

Harimau Di Jeli



rimau
AKHIRNYA TERPERANGKAP: Harimau belang yang ditangkap Perhilitan Kelantan selepas masuk perangkap umpan kambing di Kampung Sungai Rual, Jeli, semalam.

KOTA BHARU 11 JUN 2007 - Seekor harimau belang seberat 90 kilogram ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan apabila memasuki perangkap dipasang jabatan itu di Kampung Sungai Rual di Jeli, dekat sini.

Harimau betina spesies Malayan Tiger terbabit, memasuki perangkap berumpan kambing yang dipasang Perhilitan sejak enam bulan lalu, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Pazil Abdul Patah, berkata haiwan liar terbabit dipercayai mendiami semak kebun getah sekitar perkampungan itu yang menjadi habitatnya.

Dengan penangkapan harimau ini, kami percaya kejadian seorang penoreh warga emas diserang harimau pada November tahun lalu selesai.

"Bagaimanapun, empat perangkap berumpan kambing yang dipasang dalam semak sekitar Sungai Rual dan Sungai Long akan terus dipasang,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 26 November tahun lalu, seorang warga emas, Mek Jah Ismail, 66, cedera parah diserang seekor harimau belang ketika sedang menoreh sendirian di kebunnya dekat Sungai Long, jam 10 pagi.

Selain itu, penduduk Orang Asli yang mendiami Kampung Sungai Rual juga bimbang kerana pernah terserempak dengan harimau belang yang berkeliaran di kawasan itu.

Berikutan kejadian itu, Perhilitan melancarkan gerakan menangkap harimau di kawasan sasaran menerusi pemasangan empat perangkap besi yang diletakkan dengan umpan kambing.

Hasil pemasangan terbabit, seekor harimau kumbang betina seberat 36 kilogram ditangkap apabila memasuki perangkap terbabit yang dipasang di Sungai Long dan sudah dihantar ke Zoo Melaka.

Pazil berkata, harimau belang yang ditangkap kelmarin akan dihantar ke Zoo Melaka dalam tempoh terdekat dan binatang itu dilaporkan sihat kerana tidak mengalami sebarang kecederaan ketika memasuki perangkap.

-Berita Harian-

Tiada ulasan: