Selasa, 12 Jun 2007

WWF cari kaedah atasi masalah harimau di Jeli

Utusan Malaysia, 26 Okt 2002

WWF juga mengkaji cadangan kemungkinan mengatur masa penduduk menoreh getah yang tidak bertindih dengan tempoh aktif harimau mulai kira-kira jam 6 petang hingga 6 pagi, mengurangkan kegiatan berburu dan pembukaan tanah di kawasan itu.

Kertas cadangan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenai penyelesaian konflik itu dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

Ketua Kanan Unit Pemuliharaan Spesies Haiwan WWF, Dr Dionysius S K Sharma, berkata menerusi pertemuan yang diatur Pejabat Daerah Jeli itu, pihaknya berharap dapat mengenal pasti sebab sebenar mamalia yang biasanya mengelak daripada berinteraksi dengan manusia itu menyerang.

“Secara asasnya, kami akan memberi penerangan kepada penduduk mengenai cara menjaga keselamatan apabila berada dekat dengan kawasan harimau sebagai langkah jangka pendek. Pada masa sama, kami akan mengumpul data cara hidup mereka bagi merangka penyelesaian jangka panjang.

“Kami mungkin menggunakan penyelesaian konflik harimau-manusia yang dilaksanakan di Terengganu dengan membina kandang binatang peliharaan atau di Negeri Sembilan di mana penduduk memakai topeng pada bahagian belakang kepala. Tetapi ada banyak perbezaan antara kawasan terbabit termasuk kegiatan ekonomi dan cara hidup.

“Kami berharap kumpul data, analisa data dan menyediakan penyelesaian menggunakan sains bagi membolehkan penduduk meneruskan kehidupan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Dionysius bagaimanapun berkata, penyelesaian jangka panjang yang proaktif masih memerlukan kerjasama lebih erat antara pelbagai agensi kerajaan, selain antara kerajaan negeri dan pusat.

“Menembak harimau adalah jalan terakhir penyelesaian, manakala bius dan tangkap untuk dihantar ke zoo Melaka dan Taiping pula terhad kerana memerlukan kos serta ruang yang besar. Pertukaran antara zoo seluruh dunia pula agak kurang memandangkan kebanyakannya sudah mempunyai banyak harimau belang jenis Indo-China.

“Penyelesaian jangka panjang ialah pengurusan kawasan hutan yang turut merangkumi hidupan liar supaya pembangunan dan perubahan penggunaan tanah tidak menjejaskan harimau yang hidup di situ,” katanya.

Katanya, ini penting kerana apabila lebih banyak kawasan hutan diubah menjadi ladang atau perumahan, konflik antara manusia dan hidupan liar termasuk harimau, gajah dan badak sumbu semakin kerap memandangkan mereka terpaksa keluar dari habitat asal.

“Kami perlu memahami penduduk tempatan dan persekitarannya sebelum merangka penyelesaian jangka masa pendek dan jangka panjang,” katanya

Tiada ulasan: